Dato Sri Douglas
Uggah Embas berkata, Jabatan perhutanan
perlu bersikap proaktif dan bersedia dengan tindakan-tindakan pre-emptive bagi menjayakan
program-program bagi memastikan komitmen negara ini terpelihara.
Menteri Sumber
Asli Dan Alam Sekitar berkata demikian ketika berucap pada Majlis
Penyampaian Sijil Perhutanan Renjer Hutan Sesi 2010-2012 dan Sijil Perhutanan
Pengawas Hutan Sesi 2011-2012 Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) di Dewan Alwy, Bahagian Latihan Perhutanan, JPSM, Kepong hari ini. Teks
ucapannya dibaca oleh Dato’ Dr Mohd. Ali B. Mohamad Nor, Timbalan Ketua
Setiausaha (Sumber Asli).
Dato’ Dr Mohd. Ali B. Mohamad Nor, Timbalan Ketua
Setiausaha (Sumber Asli)
Menurut Menteri
Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Dewasa kini,
isu-isu perhutanan dan alam sekitar menjadi tumpuan di media masa dan di
forum-forum peringkat nasional dan antarabangsa. Isu-isu seperti perubahan iklim,
kebakaran hutan, pencemaran udara dan sungai sering kali dikaitkan dengan hutan.
“Ini menunjukkan bahawa bidang perhutanan
memainkan peranan yang penting bukan sahaja dari aspek kepentingan ekonomi,
malah turut menjadi nadi kepada kehidupan sosial masyarakat dan kepentingan kepada
alam sekitar. Tanggapan sesetengah pihak bahawa perhutanan adalah berkaitan dengan
pengusahasilan kayu sahaja adalah tidak tepat kerana ianya menjangkaui lebih daripada
itu.”
“Cabaran-cabaran baru serta desakan globalisasi
kini menuntut kita untuk menguasai ilmu- ilmu pengetahuan baru yang
berkonsepkan “look beyond the tree”.
Menurut beliau, pemeliharaan dan pengurusan
hutan penting bagi menangani isu-isu global ini. Usaha ini memerlukan kita memastikan
sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah Negara dilitupi hutan dan pokok-pokok seperti komitmen Malaysia yang dinyatakan semasa
Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 dan komitmen untuk mengurangkan
intensiti karbon sehingga 40% menjelang tahun 2020 semasa Persidangan Bangsa-Bangsa
Bersatu Mengenai Perubahan Iklim di Copenhagen pada tahun 2010.
“Selain itu, pembangunan ekonomi negara juga tidak seharusnya terlalu bergantung
kepada hasil pengeluaran dari hutan asli. Jabatan perhutanan perlu mencari inisiatif
untuk meneroka peluang-peluang baru bagi menjana pertumbuhan ekonomi daripada sumber-sumber
hutan yang lain seperti tumbuh-tumbuhan ubatan dan herba dan eko-pelancongan.”
“Penjanaan sumber
kekayaan baru dari hutan melalui pendekatan yang lebih mesra alam akan memberi
perlindungan berganda kepada usaha-usaha melindungi biodiversiti negara.”
Beliau berkata, cabaran utama membangunkan modal insan ialah menyediakan
latihan yang mampu mentransformasikan minda yang kreatif, inovatif dan berkemahiran
tinggi bagi lepasan sijil perhutanan agar selari dengan hala tuju dasar negara.
Perubahan minda yang ingin diterapkan sewajarnya menggalakkan pemikiran yang
selari dengan aspirasi negara bagi menghasilkan nilai tambah dalam tugasan dan berkeupayaan
menyediakan lepasan sijil yang mampu membudayakan nilai-nilai murni perkhidmatan
awam amnya dan di Jabatan-jabatan Perhutanan khasnya.
“Saya juga difahamkan bahawa para pelatih telah dididik untuk melaksanakan
pelbagai kerja dalam satu masa (multi-tasking),
selain menyemai sikap bertanggungjawab dan cintakan alam sekitar bodiversiti
hutan. Proses latihan yang dikendalikan oleh JPSM ini bukan sekadar untuk mendapat
kelulusan tetapi bertujuan untuk mempersiapkan para pelatih sekalian agar
sentiasa berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berwawasan dalam apa jua bidang
pekerjaan yang bakal diceburi di luar kelak.”
Kata beliau, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) sentiasa mengambil
berat dan menyokong usaha-usaha jabatan agensi di bawahnya dalam melaksanakan projek-projek
pembangunan yang dilaksanakan termasuklah pembangunan sumber manusia dan modal
insan.
“ Saya difahamkan bahawa JPSM melalui Program Kerjasama ASEAN-Republik
Korea telah menyedia dan menambahbaik dasar latihan sumber manusia, kurikulum latihan
dan latihan bermatriks yang komprehensif merangkumi semua peringkat selaras dengan
arahan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia. Semoga dasar latihan yang disediakan
ini dapat memantap dan meningkatkan kepakaran dan kompetensi di kalangan warga jabatan.”
Menurut beliau, di
majlis yang penuh bermakna ini, saya ingin menyeru setiap pelatih agar tidak mensia-siakan
ilmu pengetahuan, kebolehan dan bakat yang telah diperolehi sepanjang tempoh berkursus
di sini. Ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang ada perlulah diaplikasikan
dengan rasa penuh tanggungjawab, berdisiplin dan berdedikasi bagi menghasilkan perkhidmatan
yang cekap, cepat dan berkualiti tinggi.
“Saya suka menyarankan kepada semua pelatih
supaya menanamkan sikap ingin terus maju, seperti kata-kata Albert Einstein:
“Intellectual growth should commence at birth and cease only at death” atau dalam
bahasa Malaysia pembelajaran bermula sejak dari lahir sehingga mati. Oleh yang demikian, amalkan segala ilmu yang
telah dipelajari dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.
Ingatlah bahawa saudara-saudari sekalian menggalas peranan penting dan merupakan
barisan hadapan yang diamanahkan bagi memelihara dan menjaga khazanah hutan negara
yang amat tinggi nilainya.”